“Tegur-menegur dan saling menasihati sesama muslim amatlah digalakkan di dalam Islam.Ini kerana Islam itu merupakan agama yang mementingkan aspek kemasyarakatan dan persaudaraan dalam menuju redha Allah S.W.T. Nabi S.A.W sendiri telah menyatakan dalam hadis yang sering kita dengari dan dinukilkan oleh Imam Nawawi dalam Matan Al-Arbain An-Nawawiyyah :
الدين النصيحة
“Agama itu nasihat”
Bagitulah pentingnya nasihat dalam masyarakat Islam.Namun begitu,terlalu ramai dikalangan umat Islam sekarang telah melampaui had dan adab dalam memberikan dan teguran.Bahkan ada yang cuba menghalalkan tindakan mereka dengan menggunakan hadis di atas.Jika kita merujuk kepada kitab Al-Wafi syarah Matan Al-Arbain An-Nawawiyyah ada dinukilkan kata-kata Fudhail Bin I’yadh :
المؤمن ينصح ويستر والفاجر يهتك ويعير
“Mukmin itu menasihati dan menutup(aib dan kesalahan), Orang yang jahat itu menyingkap dan mendedahkan(aib dan kesalahan)”
Jelas dengan kata-kata Fudhail Bin Iyadh tersebut,menunjukkan pendekatan yang wajib diikuti dalam memberikan teguran dan nasihat kepada muslim yang lain. Lebih-lebih lagi,orang yang melakukan kesilapan tersebut merupakan seorang pemimpin atau dipandang tinggi dalam masyarakat. Sebagaimana kata-kata yang masyhur :
لكل مقام مقال
“Setiap peringkat(atau tempat) itu,ada ucapannya(yang tertentu)”
Ramai kalangan ahli dalam perjuangan hari ini, sudah tergelincir dari landasan sebenar yang di bawa dalam Islam. Semacam sudah menjadi satu doktrin di kebanyakan tempat,golongan yang dipimpin merasakan mereka berhak ke atas pemimpin mereka dengan melemparkan tuduhan dan teguran yang tidak wajar. Adakah seseorang pemimpin itu,apabila diangkat menjadi pemimpin,hilang hak mereka sebagai seorang Muslim?Maruah dan integriti mereka boleh dijatuhkan sesuka hati? Nabi S.A.W telah bersabda :
المسلم من سلم المسلمين من لسانه ويده
“Muslim itu adalah seorang yang menyelamatkan(atau menyejahterakan) muslim yang lain dengan lisannya(percakapan) dan tangannya”
Sememangnya Islam itu menggalakkan teguran kepada pemimpin. Kita biasa mendengar kisah Saidina Umar yang ditegur oleh seorang wanita apabila cuba menghadkan kadar mas kahwin untuk wanita. Apabila ditegur, maka dengan penuh tawadu’ beliau menarik kembali dasar yang cuba ditetapkan. Beliau menyatakan, “Wanita itu betul,Umar salah”. Tetapi cuba kita meneliti kembali dasar yang cuba diletakkan oleh Umar dari aspek siasah syari’yyah. Bukankah dengan melaksanakan perkara tersebut, dapat mengelakkan masalah pembujangan dikalangan muda mudi? Perkara ini dilihat semakin parah diseluruh negara-negara Islam. Di Negara Mesir sendiri puluhan juta anak gadis yang melebihi umur 30 tahun. Apa yang cuba saya fahamkan di sini, setiap ahli perlu berlapang dada seandainya teguran yang diberikan tidak dipraktikkan. Mungkin di sana kita tidak dapat melihat keutamaan yang difikirkan oleh kepimpinan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan