Kita melalui hari-hari kita seperti biasa. Tidur, kemudian kita bangun untuk meneruskan hari-hari kita. Sudah berapa hari agaknya kita hidup di atas dunia ini? Kalaulah kita ini berumur 40 tahun, maka 40X365 hari = 14600 hari. Katalah kita tak pernah tidur siang, maka kita sudah 14600 kali tidur dan bangun.
Namun, dalam banyak kali kita bangun dan tidur ini, pernahkah anda rasa takut untuk tidur, dan menyesal pula ketika bangun?
Pernah? Mesti anda bertanya, Kenapa perlu takut untuk tidur, dan menyesal untuk bangun bukan?
Takutlah untuk tidur
Siapa yang memberikan anda nyawa? Kita beriman bahawa nyawa itu adalah pemberian Allah SWT. Allah boleh menariknya bila-bila masa yang Dia suka, dan kita pula tidak tahu bila Dia hendak menariknya.
Jadi, apabila setiap kali anda tidur, apakah anda boleh menjamin anda bangun keesokan harinya? Aha… itu sebabnya, saya mengajak anda untuk takut tidur.
Bayangkan, malam ini anda tidur, dan esok tidak bangun semula. Bagaimana dengan dosa-dosa anda pada hari semalam? Hutang-hutang anda yang belum berbayar? Rakan yang anda khianati dan calari hatinya? Bagaimana semua itu, jika anda tidur dan esoknya anda tidak bangun?
Pernahkah anda, sebelum melelapkan mata, bermuhasabah sebentar apa yang anda lakukan sepanjang hari? Atau anda tidur, dengan keyakinan 100% anda akan bangun keesokan harinya, lalu anda berkata: “Esok-esok lah taubat apa semua ni”
Maka tidak hairanlah, kita ini tiada peningkatan. Kerana kita sebenarnya, langsung tidak bersedia menghadapi kematian.
Menyesal lah ketika bangun
Apakah perkara dalam dunia ini, kalau kita terlepaskannya, kita tidak boleh mendapatkannya semula walau apa pun cara kita gunakan?
Satu sahaja jawapannya. – Masa –
Jadi, anda bangun pagi saban hari, pernah kah anda berfikir betapa menyesalnya anda meninggalkan hari semalam? Semalam itu, walau anda kumpul segala harta dunia ini, anda tetap tidak akan mampu mengambilnya semula.
Segala keburukan kita semalam, segala kejahatan kita semalam, segala dosa-dsa kita semalam, terpahat kemas dalam semalam. Kita tidak boleh memutar semalam, untuk memadamkan semua itu.
Pernah kah anda menyesal dengan semalam yang telah berlalu apabila anda bangun?
Kenapa perlu semua ini?
Kenapa perlu takut untuk tidur, menyesal ketika bangun?
Saya sebenarnya hendak anda nampak apa itu kehidupan sebenarnya. Jangan pandang kehidupan kita ini enteng. Manusia ini, akan dihitung oleh Allah SWT. Maka, sebelum tidur anda muhasabah lah segala perbuatan anda, bila ada dosa bersegeralah taubat, ada hutang bersegeralah bayar, ada khilaf dengan teman-teman, segeralah bermaafan. Anda mungkin tiada esok.
Bila bangun, saya nak anda rasa anda telah membazirkan kehidupan anda semalam. Maka apabila Allah izinkan anda hidup pada hari baru, dengan penyesalan terhadap hari semalam yang telah anda bazirkan, maka anda akan gunakan hari baru anda dengan sebaik mungkin, tiada pembaziran seperti hari semalam. Semalam takkan kembali, yang ada pada kita hanya hari ini. Corakkannya sebaik mungkin.
Penutup: Hidup ini, untuk persediaan ke sana
Kenapa kena hargai hidup? Kerana Allah akan kira kehidupan kita ini. Kejayaan kita, hanyalah apabila kita dilepaskan dari api neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga. Jadi, dunia ini sepatutnya kita gunakan, bukan kita dipergunakan.
Allah SWT berfirman: “Setiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan di akhirat sana akan disempurnakan pembalasan, siapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia telah berjaya. Tiadalah kehidupan di dunia itu, melainkan kesenangan yang menipu daya” Surah Ali-Imran ayat 185.
Jangan bazirkan hayat anda. Bersegeralah, jangan tangguh-tangguh. Hargailah, jangan anda buang-buang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan