Memaparkan catatan dengan label sirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sirah. Papar semua catatan

Jumaat, Februari 19, 2010

Peranan Sayyidah Khadijah di sisi Rasulullah



Assalamualaikum.. Memandangkan Maulidurrasul kian dekat, maka saya nak selitkan posting kali ini berbentuk Sirah.. Pada kali ini, berkenaan dengan isteri Rasulullah yang tercinta, Siti Khadijah R.A...

Adapun peranan Khadijah sewaktu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mula-mula menerima wahyu dan diangkat menjadi Rasul, secara ringkasnya dapat disimpulkan seperti di bawah:

1. Khadijah amat mengenali dan memahami jiwa, peribadi serta akhlak suaminya dari sejak kecil sehingga dewasa.

Beliau mengetahui betapa Rasulullah membenci adat kaum Quraisy yang menyembah dan mendewakan berhala. Demikian juga Baginda sangat benci kepada kegemaran kaumnya yang berjudi dan minum khamar, serta melakukan perbuatan di luar perikemanusiaan seperti menanam bayi perempuan hidup-hidup kerana rasa malu dan takut jatuh miskin.

2. Khadijah memberi suaminya kesempatan dan kebebasan yang sebesar-besarnya untuk berfikir dan beruzlah, dalam usaha untuk mencari hakikat yang benar dan mutlaq. Baginda diberi dorongan semangat agar terus mencari kebenaran, dan tidak dibebani dengan persoalan rumahtangga dan perdagangan, yang semuanya diuruskan oleh Khadijah sendiri. Dan ketika Nabi bertafakur di Gua Hira', disediakannya perbekalan untuk Baginda tinggal di sana selama beberapa hari, dalam melakukan tahannuts mencari hakikat yang benar itu.

3. Ketika Nabi Muhammad berada dalam keraguan dan kebimbangan menghadapi kejadian-kejadian yang dilihat dalam mimpi Baginda, Khadijah meyakinkan suaminya, bahawa dengan akhlak Baginda yang mulia dan tidak pernah menyakiti hati orang lain, adalah mustahil Nabi akan diganggu atau digoda oleh jin dan syaitan.

4. Ketika Nabi Muhammad berada dalam kegelisahan dan kebingungan setelah menerima wahyu yang pertama, Khadijah menghiburkan hati dan meyakinkan suaminya, bahawa suaminya itu dilantik menjadi Rasul, dan akan mengangkat darjat kaumnya dari lembah kejahilan dan kesesatan kepada darjat kemuliaan dan kebahagiaan. Setelah hilangnya keraguan dan kecemasan suaminya, Khadijah pergi berjumpa dengan Waraqah bin Naufal, untuk menceritakan hal yang dialami oleh suaminya. Lalu Waraqah menjelaskan kepada beliau berdasarkan pengetahuannya dalam kitab Injil yang dipelajarinya, bahawa Muhammad telah dipilih menjadi Nabi.

5. Ketika suaminya menerima wahyu kedua yang berisi perintah menyuruh Nabi mulai bekerja dan berjuang menyebarkan agama Allah dan mengajak kaumnya kepada agama tauhid, Khadijah merupakan manusia yang pertama yang mempercayai kalam Nabi dan menyatakan keimanannya, tanpa sedikit pun keraguan kepada apa yang disampaikan oleh suaminya.

Peranan Khadijah sebagai isteri dan wanita pilihan yang memang telah dipilih dan ditetapkan oleh Allah dalam qadar-Nya adalah amat besar, dalam membantu usaha dah'wah suaminya untuk menyeru dan mengajak kaumnya kepada agama tauhid, meninggalkan sembahan berhala dan adat-adat jahiliyyah, serta mengesakan Allah. Allahu a'lam.. - Al-Qur'an dan Terjemahannya, cetakan al-Malik Fahd, Madinah.

Diriwayatkan dari Aisyah, beliau berkata: "Rasulullah hampir tidak pernah keluar dari rumah sehingga Baginda menyebut-nyebut kebaikan tentang Khadijah dan memuji-mujinya setiap hari sehingga aku menjadi cemburu, lalu aku berkata: Bukankah beliau seorang wanita tua, yang Allah telah menggantikannya dengan yang lebih baik untuk engkau? Maka Baginda marah sampai berkerut dahinya, kemudian bersabda: Tidak! Demi Allah, Allah tidak memberiku ganti yang lebih baik darinya. Sungguh Khadijah telah beriman di saat manusia mendustakanku, dan menolongku dengan harta di saat manusia menjauhiku, dan dengannya Allah mengurniakan zuriat kepada ku dan tidak dengan wanita yang lain. Aisyah berkata: Maka aku berjanji untuk tidak menjelek-jelekkannya buat selama-lamanya."

Sabtu, Disember 26, 2009

Hindun bt Utbah ( Pemakan Hati )

Hindun ialah seorang wanita yang berfikiran jauh, bersemangat kental serta memiliki harga diri yang tinggi. Beliau telah berkahwin dua kali, suaminya yg pertama ialah Al Faqih b Mughirah yang kemudian diceraikan. Suaminya yg kedua ialah Abu Suffian b Umairah. Semasa peperangan Badar Hindun bersama suaminya masih lagi kafir dan mereka mengetuai kaumnya menentang Rasulullah. Dalam peperangan ini Hindun telah kehilngan ramai keluarga. Kematian mereka membuatnya menyimpan dendam terhadap kaum muslimin. Ketika berlakunya peperangan kedua iaitu peperangan Uhud, Abu Suffyan dan Hindun sekali lagi mengetuai kaum mereka.

Dalam peperangan ini Hindun mahu membalas dendam yang telah lama terbuku semasa peperangan Badar. Dia bersama para pengikutnya telah menzalimi mayat kaum muslimin dengan memotong hidung, telinga, bibir, mata dan lain-lainnya untuk dijadikan perhiasan. Bahkan dia akan memberikan hadiah kepada sesiapa yang melakukan lebih dari itu. Hindun ada memberi hadiah pada seorang hamba yang bernama Wahsyi kerana dialah yang merobek perut Hamzah bapa saudara Nabi lalu memotong hatinya dan diberikan kepada Hindun. Hindun tanpa rasa kotor lalu mengunyah hati Hamzah kemudian dikeluarkannya dengan rasa puas. Apabila peristiwa ini sampai kepada Rasulullah baginda berkata . ' Sekiranya hati itu ditelan tentu ia akan bebas daripada api neraka kerana Allah telah mengharamkan api walaupun secebis dari dagingnya.' Hindun dan Abu Suffyan telah menyatakan keislaman mereka pada hari pembukaan Mekah. Anaknya Mu'awiyah telah dimuliakan oleh Khalifah Umar dengan melantiknya menjadi gabenor di Syam.