Memaparkan catatan dengan label wanita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wanita. Papar semua catatan

Rabu, Mac 03, 2010

Lelaki pemimpin wanita



Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala kaum perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman.

Dalam ayat lain pula Allah berfirman, bermaksud "Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka." Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki yang menjadi ketua sesebuah keluarga. Pengaruh barat yang menular ke negara Islam berjaya menyerapkan ideologi persamaan hak wanita-lelaki dan akhirnya diterima umum.

Akibatnya konsep kepemimpinan lelaki terhakis. Kaum wanita yang dahulunya berperanan mentadbir anak-anak dan rumahtangga si-suami kini sudah mengabaikan tanggungjawab. Anak-anak sebaliknya dipelihara oleh orang gaji. Apabila ramai wanita sudah memandang tanggungjawab di rumah sebagai kolot dan tidak ekonomikal, maka institusi keluarga akan tercemar dan terjejas.

Anak-anak kehilangan kasih-sayang ibu. Ibu hanya sempat melihat anak waktu petang atau malam. Ketika itu badannya sudah keletihan dan tidak berdaya untuk mengasuh anak lagi. Anak-anak membesar tanpa menerima kasih-sayang ibu. Apabila ibu tidak menyayangi anak, semasa dewasanya nanti, sudah tentu anak tidak akan mengasihi ibunya. Jadilah mereka anak yang kasar dari segi tutur-kata dan tingkahlaku.

Walaupun kesilapan ini seolah-olah berpunca daripada wanita tetapi sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki yang tidak berjaya mentarbiah wanita yang diamanahkan kepadanya. Kegagalan mentarbiah anak dan isteri menyebabkan ramai anak-anak gadis keluar beramai-ramai memburu kerja di mana-mana saja. Kilang-kilang perindustrian yang menawarkan insentif dan gaji lumayan menjadi alternatif utama berbanding profesion perguruan dan perkeranian.

Bahkan ramai juga wanita yang menjadi doktor, jurutera, polis, askar dan sebagainya. Kuantiti wanita yang ramai bekerja menyebabkan berlakunya satu kekosongan yang ketara di dalam institusi keluarga. Keadaan ini digawatkan lagi dengan sikap pelajar lelaki yang tidak secemerlang pelajar perempuan.

Kecemerlangan pelajar perempuan di dalam peperiksaan awam berbanding pelajar lelaki menjadi satu faktor ramainya wanita melibatkan diri di dalam pasaran tenaga kerja. Penglibatan wanita yang ramai di dalam sektor pekerjaan menyebabkan berlakunya pengangguran di kalangan kaum lelaki. Mereka akhirnya terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Wanita bekerja terutama yang berpendapatan tinggi bertambah ramai yang hidup membujang.

Pemuda yang menganggur sukar mencari wang untuk berkahwin. Akhirnya berlakulah pelbagai gejala keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi. Walaupun banyak faktor dikaitkan dengan gejala keruntuhan akhlak yang berlaku sekarang, namun faktor yang jelas ialah kurang berkesannya peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki sebagai ketua yang memimpin ahli-ahli keluarganya.

Sebagai penutup sayugianya kita kembali kepada dasar Islam untuk mengembalikan martabat lelaki sebagai ketua yang diamanahkan untuk memimpin ahli-ahli keluarga dan kaum wanita amnya. Wallahualam.

Sabtu, Februari 13, 2010

Aurat Wanita... Renungkan..


Aurat Wanita dari Firman Allah dan Hadis-hadis Nabi

1. Bulu kening
Menurut Bukhari, "Rasullulah melaknat perempuan yang
mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta
supaya dicukurkan bulu kening." Riwayat Abu Daud FiFathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki)
Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki
(atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang
mereka sembunyikan." An-Nur: 31. Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.

3. Wangian
"Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian
kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium
baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina
dan tiap-tiap mata ada zina." Riwayat Nasaii, IbnKhuzaimah dan Hibban.



4. Dada
Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung
hingga menutupi dada-dada mereka. "An-Nur : 31

5. Gigi
Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi
atau meminta supaya dikikirkan giginya. "Riwayat
At-Thabrani, "Dilaknat perempuan yang menjarangkan
giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan
Allah". Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher
"Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan
janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang
jahilliah yang dahulu." Keterangan: Bersolek (make-up)
dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung
yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan
"Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah
dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah:
Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah
berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan
kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." RiwayatMuslim dan Bukhari.

8. Tangan
"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu
lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis
yang tidak halal baginya". Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.



9. Mata
"Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah
mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya." An Nur : 31. Sabda Nabi SAW, "Jangan sampai pandangan
yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya
boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya
tidak dibenarkan." Riwayat Ahmad, Abu Daud danTirmidzi.

10. Mulut (suara)
"Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak
dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada
perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah
perkataan-perkataan yang baik." Al Ahzab: 32. Sabda
SAW, "Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak
yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala
mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin,
hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan
menjaga kehormatan mereka. " An Nur : 31.
"Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu,
puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan
mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga
daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." Riwayat Al
Bazzar. "Tiada seorang perempuan pun yang membuka
pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia
telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah."
Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian
"Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan,
maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari
akhirat nanti." Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii danIbn Majah. "Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah
perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang
yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk
melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan
tidak akan mencium baunya." Riwayat Bukhari dan
Muslim. Keterangan: Wanita yang berpakaian
tipis/jarang, ketat membentuk dan berbelah/membuka
bahagian-bahagian tertentu."Hai nabi-nabi katakanlah
kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan
isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai
baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu
supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka
tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang." Al Ahzab : 59.

13. Rambut
"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan
yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya
dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu
menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang
bukan mahramnya." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Isnin, Februari 08, 2010

30 larangan kepada wanita


1. Menyambung rambut palsu
2. Bertatu, mencabut bulu wajah dan mengikir gigi
3. Keluar rumah dengan memakai minyak wangi
4. Memperlihatkan perhiasan(bersolek) di depan lelaki lain

5. Menolak panggilan suami untuk tidur bersama
6. Membuka rahsia hubungan suami isteri
7. Berpuasa sunat tanpa izin suami
8. Membelanjakan harta suami, tanpa izin suami
9. Derhaka kepada suami
10. Meminta cerai tanpa sebab yang jelas
11. Mengingkari kebaikan suami
12. Bersama lelaki lain yang bukan mahram
13. Memandang lelaki yang bukan mahramnya
14. Bersalaman dengan lelaki bukan mahram
15. Menyerupai lelaki
16. Membuka rahsia wanita lain kepada suami
17. Memandang aurat wanita lain
18. Keluar rumah tanpa ada keperluan
19. Masuk permandian awam
20. Mencakar-cakar tubuh ketika dapat musibah
21. Meratapi kematian
22. Berhias atas meninggalnya seorang
23. Menghantar jenazah
24. Mempercayai bomoh, dukun dan peramal
25. Menyumpah anak-anak sendiri
26. Tidak bertegur sapa dengan sesama muslim
27. Menganiaya pembantu
28. Mengganggu jiran
29. Minta cerai kerana suami sakit
30. Minta cerai kerana suami menikah lagi

Sabtu, Ogos 08, 2009

Untukmu Wanita


(Terbit di dalam suara kampus gabungan edisi mac 2006)

Oleh Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee

Satu ketika dahulu
Pernah Adam menatap sepi
Meratap sepi seorang diri
Lalu
Kepada Allah dipintanya teman
Buat mengubati kekosongan hati
Lalu diambil rusuk yang kiri
Dicanai menjadi sari
Buat menemani nubari yang sepi

Suatu ketika dahulu
Pernah wanita dibenci
Ditanam tiada berperi
Umpama musuh terus dibenci

Tetapi kini
Wanita disanjung mulia dipelihara
Menjadi permaisuri seorang raja
Ratu di dalam jiwa

Dirimu dibangga tetap ulung selamanya
Terus tegar membantu
walau ketua tiada
Memelihara amanah tanpa bicara

Wanita
Dirimu panah berbisa
Panahan si syaitan durjana
Keranamu si peria menjadi gila
Keranamu Adam terlupa
pesan Tuhan buat dirinya
hingga tercampak ke alam dunia
Umpanmu mengikis keimanan
Hancur bagi yang tidak berpedoman

Wanita
Dirimu bak taman larangan
Harus dihindar dari sang kumbang
Jagalah madumu
Kelak dihisap rakus tanpa bersisa
Sepah dibuang jadi melata
Merana jiwa penuh dosa
Wanita
Tinggi nilai dirimu
bukan untuk dijual beli
Usah diberi pada yang tak sudi
Hadirkanlah buat yang sudi membeli
Agar cinta terikat rapi
Mengharumi syurga duniawi

Wanita
Ikhlaskan dirimu menjadi ratu
Agar bahagia melingkari hidupmu
Hingga ke akhir hayat pasti bersatu
Antara isteri jua suami
Syurga juga tempat abadi

Khamis, Ogos 06, 2009

Wanita Sejati


"Apabila hati diserahkan kepada Allah, kekallah wanita dengan asal penciptaannya iaitu penyejuk mata dan hati. Apabila wanita terus mengikatkan hati kepada zat yang menjadikannya, kekallah ia sebagai perhiasan yang dijaga rapi.

Redup wajahnya mengundang pembelaan dari hati yang menjadi hamba Tuhan dan kerendahan hati yang tunduk kepada syariat meletakkan ia sentiasa dalam keredhaan dan perlindungan dari Zat Yang Maha Agung". Inilah wanita sejati bergelar wanita solehah seperti yang digambarkan oleh Rasullullah:

“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.”

Wanita solehah yang hatinya terikat dengan Allah-si gadis dihiasi sifat sopan dan malu; si anak mentaati ibu bapa; srikandi dihiasi keberanian dan ketegasan yang penuh kesopanan serta prihatin terhadap suasana masyarakat; si isteri penuh ketaatan, kesetiaan dan kasih terhadap suami. Semuanya berteraskan rasa cinta kepada Yang Maha Pencipta. Berbahagialah kaum Adam yang berjaya memiliki ‘perhiasan’ sejati ini kerana pastinya hidup akan terarah ke syurga. Syurga dunia yang disegerakan dan syurga hakiki yang kekal abadi.

Sebaliknya, jika hati dibawa jauh dari Allah, hilanglah kejernihan wajah dan jadilah dia duri yang menjadi punca kemelut serta kacau bilau. Apabila wanita lari dari ikatan Tuhan, maka terbukalah segala pintu yang akan menjerumuskannya ke lembah fitnah kehinaan. Hilanglah redup wajah yang menjadi dambaan dan yang terserlah ialah kecantikan palsu yang menanti untuk dieksploitasi oleh manusia buas yang menjadi hamba nafsu. "

Taubat Seorang Wanita Buta


Saleh Al-Muri bercerita, bahawa dia pernah melihat seorang perempuan tua memakai baju kasar di Mihrab Daud Alaihissalam. Perempuan yang telah buta matanya itu sedang mengerjakan sholat sambil menangis terisak-isak. Setelah selesai solat dia mengangkat wajahnya ke langit dan berdoa:

"Wahai Tuhan, Engkaulah tempatku memohon dan Pelindungku dalam hidup. Engkaulah penjamin dan pembimbingku dalam mati. Wahai Yang Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan rahasia, serta setiap getaran batin tidak ada Rabb bagiku selain Engkau yang kuharap dapat terhindar bencana yang dahsyat."

Saleh Al-Muri memberi salam kepada perempuan tersebut dan bertanya: "Wahai Ukhti! Apa yang menyebabkan hilangnya penglihatanmu?"

"Tangisku yang disebabkan sedihnya hatiku kerana terlalu banyaknya maksiatku kepada-Nya, dan terlalu sedikitnya ingatan dan pengabdianku kepada-Nya. Jika Dia mengampunkan aku dan menggantinya di akhirat nanti, adalah lebih baik dari kedua-dua mataku ini. Jika Dia tidak mengampunkan aku, buat apa mata di dunia tetapi akan dibakar di neraka nanti." Kata perempuan tua itu.

Saleh pun ikut menangis kerana sangat terharu mendengar hujjah wanita yang mengharukan itu.

"Wahai Saleh! Sudikah kiranya engkau membacakan sesuatu dari ayat Al-Quran untukku. Kerana aku sudah sangat rindu kepadanya." Pinta perempuan itu.

Lalu Saleh membacakan ayat yang ertinya:
"Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang semestinya." (Al-An'am: 91)

"Wahai Saleh, siapakah yang berkhidmat kepada-Nya dengan sebenarnya?" Kata perempuan itu lalu menjerit kuat-kuat dengan jeritan yang boleh menggoncangkan hati orang yang mendengarnya. Dia jatuh ke bumi dan meninggal dunia seketika itu juga.

Pada suatu malam Saleh Al-Muri bermimpi berjumpa dengan perempuan tua itu dalam keadaan memakai baju yang sangat bagus. Dalam mimpi tersebut Saleh bertanya: "Bagaimana keadaanmu sekarang?"

Perempuan itu menjawab: "Alhamdulillah sangat baik, sebaik saat rohku dicabut. Aku didudukkan di hadapan-Nya dan berkata: "Selamat datang wahai orang yang meninggal akibat terlalu sedih kerana merasa sedikitnya khidmatnya kepada-Ku."